INFORMASI TEMPATAN

Maklumat Komuniti
Pintu Gerbang Felda Layang-Layang

LOKASI DAN SEJARAH FELDA LAYANG-LAYANG

Felda Layang-Layang terletak 15 km dari Bandar Simpang Renggam di Daerah Kluang, kira-kira 51 kilometer ke utara bandar dan 69 kilometer dari ibu negeri Johor. Ia berada di bawah pentadbiran Parlimen Simpang Renggam, kawasan ini pernah menjadi salah satu tarikan pelancongan di Negeri Johor yang dikenali sebagai Taman Safari Johor, sebuah Taman Haiwan Konsep Terbuka yang membolehkan pengunjung menyaksikan haiwan-haiwan bebas berkeliaran dari dalam kenderaan mereka sendiri seperti di Taman Safari di Negara Afrika. Asalnya kawasan ini diliputi oleh hutan yang tebal serta dihuni oleh pelbagai spesis binatang liar, namun kewujudan Burung Layang-Layang yang banyak berbanding unggas lain di kawasan ini menyebabkan para peneroka yang berhijrah ke sini bersetuju untuk menamakan tanah rancangan ini sempena nama burung ini menjadikannya dikenali sebagai FELDA Layang-Layang. Pembangunan di FELDA Layang-Layang bermula sekitar tahun 1981.

POPULASI PENDUDUK FELDA LAYANG-LAYANG

Majoriti penduduk yang menetap di Felda Layang-Layang adalah kaum Melayu yang dianggarkan berjumlah 1782 orang penduduk.

Rekreasi & Pelancongan

RR Homestay & Event Cafe - Simpang Renggam


Tempat peranginan dan pelancongan untuk para pengunjung beristirehat dalam suasana kampung dan tenang. Terletak di Alamat Lot 425c, Lorong Haji Amir, Jalan Renggam, 86200 Simpang Renggam, Johor iaitu 14km dari Felda Layang-Layang.

Terdapat homestay dengan binaan segitiga yang menarik, kedai makan dan juga kolam taman tema untuk mandi manda.

Hutan Bandar Simpang Renggam


Merupakan pusat rekreasi yang terletak di tengah bandar Simpang Renggam yang berkeluasan B anggaran 5 hektar. Taman hutan bandar ini terletak di Taman Rekamas Simpang Renggam iaitu 12km dari Felda Layang-Layang dan berfungsi untuk memenuhi keperluan penduduk kawasan lingkungan 1/2 jam perjalanan bagi tujuan aktiviti rekreasi, riadah sukan, interaksi sosial serta menikmaati keindahan alam semula jadi.

Mr. One Agro Farm


Merupakan Mini Zoo yang terletak di Batu 42, Jalan Kampung Pinggir, 86200 Simpang Renggam, Johor dan jarak dari Felda Layang-Layang adalah 8km. Sesuai untuk membawa anak anak melihat beberapa haiwan jinak seperti arnab, itik, kambing, kuda, merak, burung merak dan pelbagai lagi haiwan jinak yang lain.

Tempat Makan Menarik


Modern Corner Simpang Renggam


Merupakan salah satu kedai yang viral di Simpang Renggam beralamat di Batu 45 1/2 Jalan Johor, 86200 Simpang Renggam, Johor. Pelbagai menu yang menarik dari masakan kampung hingga ke western semua ada di kedai ini.

KellyPojaJawani Event Cafe & GuestHouse


Merupakan kedai makan dan juga mempunyai rumah tamu yang berkonsepkan klasik yang sangat menarik. Menu makanan yang terdapat di kedai makan mereka juga sangat menarik dan sedap. Sangat terkenal dengan ”Nasi Goreng Markonah dan juga Mee Bandung Udang Galah”.

Berlokasi Di Lot 315, Jalan Sekolah 1, Kg Sahari, Simpang Renggam, Johor dan jarak dari Felda Layang-Layang adalah 12km.

Kemudahan Awam
Kemudahan Asas

Kemudahan yang paling penting seperti jalan raya berturap, bekalan air dan elektrik disalurkan dengan cukup kepada seluruh penduduk. Antara kemudahan asas lain adalah masjid, sekolah, klinik, Dewan Orang Ramai, Bangunan Persatuan Penduduk, Bangunan GPW dan juga terdapat Perpustakaan Datin Roquaiya Hanim yang dibina di dalam kawasan pusat Felda Layang-Layang.

Selain itu juga terdapat gelanggang bola jaring dan juga gelanggang futsal bagi aktiviti riadah dan sukan untuk kegunaan komuniti di Felda Layang-Layang.

Penduduk juga saling bekerjasama menjaga dan memelihara kemudahan yang disediakan kepada mereka. Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) berperanan memastikan kemudahan yang terdapat di kampung ini berada di dalam keadaan baik dan akan sentiasa berusaha menambahkan lagi kemudahan infrastruktur demi kepentingan penduduk. Gotong-royong juga diadakan pada setiap minggu untuk memastikan kemudahan yang disediakan dalam keadaan bersih dan baik.

Kesihatan

Penduduk Felda Layang-Layang mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Desa Felda Layang-Layang yang beroperasi setiap ahad hingga khamis, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Kedudukan klinik ini di tengah-tengah penempatan penduduk, oleh itu mudah bagi mereka untuk datang mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik ini adalah klinik kesihatan kanak-kanak, ibu mengandung, postnatal, perancang keluarga dan turut menyediakan perkhidmatan rawatan ke rumah untuk wanita mengandung. Kadar bayaran sama seperti klinik desa lain iaitu RM1.00 untuk pesakit luar dan RM15.00 bagi warga asing.

Keselamatan

Rela

Keselamatan Felda Layang-Layang secara amnya adalah di bawah jagaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). JKKR sentiasa memantau keadaan kampung bagi memastikan tiada aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan kampung. Pihak JKKR amat peka dengan segala perkara berkaitan dengan keselamatan kampung dan rondaan secara berkala merupakan antara cara untuk menjamin keamanan terus tercapai.

Masjid Jamek Nurul Iman Felda Layang-Layang

Masjid Jamek Nurul Iman Felda Layang-Layang

Dewan Orang Ramai

Bangunan Persatuan Penduduk

Bangunan GPW

Perpustakaan Datin Roquaiya Hanim

Gelanggang Futsal

Bola Jaring

Pendidikan
Sekolah Kebangsaan Felda Layang-Layang

Memberi kemudahan pendidikan kepada 158 orang pelajar yang menempatkan semua anak dan cucu penduduk rancangan ini serta Kampung Melayu Bukit Nyamuk, Simpang Renggam.

Sekolah Agama Felda Layang-Layang

Berada bersebelahan bangunan Masjid Jamek Felda Layang-Layang. Sekolah ini memberi pendidikan rohani untuk pelajar dari Tahun 1 hingga 6. Mereka dibimbing oleh 4 orang guru yang mengajar dengan penuh dedikasi di sekolah agama ini bermula dari jam 2.00 petang sehingga 6.30 petang.

Sekolah Agama Felda Layang-Layang

Program pendidikan awal kanak-kanak di FELDA bermula pada tahun 1970an melalui penubuhan Pusat Literasi Keluarga (PLK). Antara objektif utama aktiviti di PLK ialah merangsang minda kanak-kanak kepada pembelajaran melalui kaedah bacaan awal yang dapat meningkatkan pusat perbendaharaan kata kanak-kanak dan secara tidak langsung memberi keyakinan diri mereka berinteraksi dengan lebih baik.

Selain itu, kaedah bercerita juga digunakan bagi menarik minat kanak-kanak seterusnya dapat menanam nilai-nilai yang baik dalam diri kanak-kanak. Aspek pembangunan fizikal, mental emosi dan intelektual juga diterapkan dalam pendidikan awal kanak-kanak di PLK. Program ini melibatkan kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun. PLK beroperasi tiga kali seminggu iaitu hari Isnin, Selasa dan Rabu selama tiga jam iaitu bermula pada 8.00 pagi sehingga 11.00 pagi.

Kisah Kejayaan

Nama : Siti Masriah Binti Rahmat
Umur : 56 Tahun
Jantina : Perempuan
Pekerjaan : Usahawan Kuih Muih

Puan Siti Masriah atau lebih mesra dengan panggilan Puan Intan merupakan seorang usahawan yang membuat serta menjual kuih muih di kawasan Felda Layang-Layang dan sekitarnya. Berumur 56 tahun dan merupakan penerokawati di Felda Layang-Layang.

Pada mulanya, Puan Intan sekadar bertanya berkenaan kemudahan yang disediakan di NaDi, dan akhirnya beliau menyatakan hasrat ingin belajar berkenaan computer dan bagaimana cara untuk mengembangkan perniagaan menggunakan internet.

Walaupun sudah mencecah usia 50 an, tetapi beliau bersemangat ingin memajukan diri dan mempelajari asas berkenaan ICT, asas menjadi usahawan berjaya menggunakan medium media sosial yang terkini dan juga mempelajari cara-cara untuk mengedit gambar serta video produk.

Puan Intan akan datang untuk belajar di NaDi Felda Layang-Layang pada setiap hari isnin hingga rabu. Beliau adalah seoarang yang cepat belajar dan menerima perkara baru dengan pantas. Kini Puan Shila lebih mahir dalam menggunakan enjin carian di platform google dan lebih kreatif dalam mengedit gambar serta video produk perniagaan beliau.

Puan Intan berpendapat bahawa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) banyak membantu beliau dalam urusan kerja serta memajukan diri sebagai seorang usahawan dan beliau juga berharap supaya ahli PEDi yang lain berminat untuk belajar menggunakan komputer kerana kemudahan untuk mengakses Internet telah disediakan.

Keusahawanan
Maklumat Usahawan
Nama : Noor Syuhada Binti Ramlan
Alamat : No.91 Jalan Enggang Felda Layang-Layang
Umur : 37 Tahun
Tahun Menjadi Ahli : 2014
PEDi : Felda Layang-Layang
Tiktok : https://www.tiktok.com/@su_syuhada86
Link Whatsapp : http://www.wasap.my/60198355186/Auliasuit
Bentuk Perniagaan : Jualan Online

Noor Syuhada atau lebih mesra dengan panggilan Su merupakan generasi kedua di Felda Layang-Layang. Seorang suri rumah tangga sepenuh masa dan mempunyai 3 orang Cahaya mata lelaki.Seorang yang minat pada perniagaan dan memasang cita-cita untuk menjadi seorang usahawan wanita yang berjaya. Untuk permulaan, beliau mengambil keputusan untuk menjadi dropship menjual pakaian Muslimah bagi Wanita seperti baju, tudung, stokin tangan, stokin kaki dan juga telekung.

Beliau sering ke PEDi Felda Layang-Layang bertanyakan bagaimana cara untuk menaikkan jualan beliau dan cara untuk menarik minat pelanggan untuk membeli produk beliau. Beliau juga membuat carian di internet bagaimana teknik yang berkesan dalam mempromosikan produk di pelbagai platform media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan lain-lain lagi.

Pihak NaDi juga membantu beliau membuat Whatsapp Bisnes dan memberi contoh usahawan yang telah berjaya untuk dijadikan rujukan buat beliau. Puan Syuhada juga diajar bagaimana cara untuk membuka akaun Facebook dan ayat-ayat untuk digunakan ketika membuat “posting” di Facebook. Selain itu, Pihak NaDi juga memasukkan beliau ke dalam group whatsapp Peniagaan FLL untuk mempromosikan produk jualan beliau.